Friday 15 March 2019

Sudut Infomasi : VAKSIN



Ruangan sudut informasi unit Farmasi Hospital Tapah disediakan sebagai tempat pemberitahuan maklumat khususnya untuk para pesakit dan pelanggan yang datang ke Farmasi Pesakit Luar Hospital Tapah mengenai maklumat yang berkaitan dengan Hospital Tapah serta pendidikan kesihatan dan informasi mengenai perkhidmatan serta kemudahan yang di sediakan oleh pihak hospital.
Sudut informasi kali ini memaparkan info semasa mengenai vaksin Kesan sampingan dan keselamatan vaksin.

Apa itu vaksin?
Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Apakah kandungan vaksin? 
Vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin. Vaksin tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan.

Proses pembuatan vaksin
Vaksin terhasil daripada pembiakan organisma hidup. Sesetengah organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya. Oleh itu, penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawalselia dengan rapi. Semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Bagaimana vaksin berfungsi
Tubuh kanak-kanak menghasilkan sel dan antibodi secara semulajadi bagi melindungi nya daripada jangkitan virus dan bakteria. Walau bagaimanapun, mekanisma pertahanan ini boleh dirangsang dengan suntikan vaksin. Antigen dalam vaksin bertindak merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi khusus terhadap penyakit tertentu. Ia menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk dilawan pada masa hadapan. Kesan maksimum sesuatu vaksin lazimnya akan bermula selepas dos terakhir vaksin tersebut diambil mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

Mengapa kanak-kanak diberi imunisasi semasa masih bayi?
Kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit cegahan vaksin kerana sistem daya lawan jangkitan (imun) mereka yang lebih lemah berbanding orang dewasa. Pemberian vaksin membantu menguatkan sistem imun mereka dengan merangsangan sel pertahanan, seterusnya melindungi mereka daripada kemungkinan berlaku komplikasi yang mengancam nyawa. Maka, adalah sangat disyorkan agar kanak-kanak diberi imunisasi seawal mungkin mengikut jadual imunisasi yang telah ditetapkan.

Adakah vaksin memberi  perlindungan 100% terhadap penyakit cegahan vaksin?
Keberkesanan vaksin tidaklah 100%. Tindakbalas tubuh seseorang terhadap vaksin adalah berbeza-beza, dan terdapat kemungkinan sesetengah orang tidak menghasilkan tindakbalas imun yang mencukupi terhadap vaksin yang diambil. Hasilnya, individu seperti ini tidak dilindungi dengan berkesan. Terdapat vaksin yang memerlukan dos tambahan (booster) untuk membantu menguatkan imuniti terhadap penyakit tertentu. Perlindungan yang diperolehi dari vaksin adalah lebih baik dari tiada perlindungan langsung.

Berapa lamakah tempoh perlindungan yang diperoleh dari imunisasi?
Tempoh perlindungan sesuatu vaksin berbeza-beza bergantung kepada jenis vaksin dan cara penghasilannya. Sesetengah vaksin memberi perlindungan sepanjang hayat, manakala terdapat vaksin yang boleh memberi perlindungan sehingga 30 tahun. Terdapat juga vaksin yang memerlukan dos tambahan (booster) untuk memastikan perlindungan berterusan.

Mengapakah sesetengah vaksin diberi beberapa kali?
Sesetengah vaksin memberi perlindungan untuk tempoh terhad. Maka, dos tambahan (booster)  diperlukan untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) dan memastikan antibodi pada paras yang tinggi. Sekiranya anak anda tidak mengambil dos tambahan mengikut jadual yang ditetapkan, mereka tidak akan dilindungi dengan berkesan.

Vaksin melindungi kita serta orang lain dalam masyarakat (imuniti kumpulan)
Apabila sebahagian besar masyarakat telah dilindungi dari jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, bakteria/virus penyebab penyakit tersebut sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti. Oleh itu, seluruh masyarakat akan terlindung dari jangkitan penyakit tersebut, ini dinamakan ‘imuniti kelompok. Imuniti kelompok hanya dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi.

Adakah vaksin mempunyai kesan sampingan?
Vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan, seperti kesakitan dan kemerahan pada tempat suntikan atau demam. Namun kebanyakan kesan sampingan ini adalah ringan dan sembuh dengan segera.

Kementerian Kesihatan Malaysia memantau keselamatan penggunaan vaksin secara berterusan. Kakitangan kesihatan dari fasiliti kesihatan Kerajaan mahupun swasta, syarikat vaksin dan orang awam boleh melaporkan kepada pihak Kementerian sebarang kesan sampingan yang dialami selepas penerimaan vaksin dengan menghubungi 03 – 7883 5400 atau melalui emel ke alamat: bpfk@bpfk.gov.my.

Komplikasi penyakit yang boleh dicegah melalui imunisasi
Penyakit
Komplikasi


Tibi (batuk kering

Menyebabkan jangkitan yang serius pada radang paru-paru (pneumonia), radang selaput otak (meningitis) dan terus merebak kepada organ lain.

               
Difteria

Toksik dikeluarkan oleh bakteria disebabkan oleh saluran pernafasan yang tersumbat atau pneumonia (radang paru-paru).


Pertusis (batuk kokol)

Ia akan menyebabkan batuk kokol dan kekurangan oksigen ke otak.


Tetanus

Keracunan bakteria menyebabkan kekejangan pada otot-otot badan dan keupayaan membuka rahang (kancing gigi).


Haemophilus influenzae jenis (Hib)

Bakteria ini menyebabkan jangkitan kepada paru-paru (pneumonia), saluran pernafasan dan radang saraf otak (meningitis).


Hepatitis B

Virus ini boleh menyebabkan kerosakan yang teruk kepada hati dan mempengaruhi individu mendapat kanser hati pada masa depan.


Polio

Virus ini boleh menyebabkan jangkitan kepada otak dan kecacatan kekal pada otot kaki.


Campak               

Virus ini boleh menyebabkan jangkitan kepada otak (encephalitis) and paru-paru (pneumonia).


Beguk

Virus ini menyebabkan jangkitan kepada otak (encephalitis) dan testis (orchitis) dan boleh membawa kepada kemandulan.


Rubella

Virus rubella merebak di kalangan manusia, ibu hamil, terutamanya kehamilan bagi tiga bulan yang pertama dan boleh menyebabkan bayi mengalami kecacatan pada otak, sistem pendengaran dan penglihatan serta kerosakan hati. (terutamanya PDA patent ductus arteriosus)


Penyakit Pneumokokus

Bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan paru-paru, meningitis dan darah yang teruk.


Rotavirus

Virus ini boleh menyebabkan penyakit cirit-birit yang teruk, dehidrasi dan encephalitis


Virus Human Papilloma

Virus ini boleh menyebabkan kanser serviks dan ketuat genital


Nota – Semua penyakit di atas sangat berbahaya dan boleh membawa kematian.

Semua vaksin yang diberi adalah selamat dan berkesan selaras dengan cadangan World Health Organization (WHO). Kesan sampingan adalah ringan mempunyai batasannya sendiri. Ini termasuk demam, bengkak ringan dan sakit pada tempat yang disuntik. Jika ini berlaku, sila beri ubat (paracetamol).
Kesan sampingan yang serius adalah jarang berlaku. Segeralah berjumpa dengan doktor, jika berlaku keadaan berikut :
Menangis berterusan, mengantuk, pucat, berlaku kecutan otot dalam tempoh 48 jam selepas suntikan
Berlaku ruam panas, kesukaran bernafas dan mengantuk yang serius
Langkah berjaga-jaga dan tanda-tanda semasa imunisasi adalah biasa

Disediakan oleh
Nur Syamimi Binti Suhaimi
Nur Feazira Binti Abdul Kadir

No comments:

Post a Comment