Tuesday 16 April 2019

HARI PENYAMPAIAN SIJIL PENYERTAAN DAN HADIAH HARI EKSA 2019

Hari    : Jumaat
Tarikh: 15 MAC 2019
Lokasi: Dewan CME, Hospital Tapah

Bersempena perhimpunan pagi bulan Mac 2019, anjuran unit rekod perubatan telah diadakan majlis penyampaian sijil penyertaan dan hadiah bersempena hari EKSA 2019 yang dilaksanakan pada 2 Mac 2019



Unit Farmasi dan Bekalan berjaya mengekalkan sekali lagi kejayaan buat tahun kedua sebagai Kaunter Terbaik dan Inovasi Terbaik. Selain itu, Unit Farmasi dan Bekalan turut berjaya merangkul tempat pertama untuk anugerah Gerai Terbaik.





Diharapkan agar ini dapat memberikan semangat kepada ahli unit farmasi dan bekalan dalam memberikan usaha yang lebih pada tahun hadapan untuk mengekalkan kejuaraan


Friday 15 March 2019

INOVASI: Cold Chain Box

Amalan penstoran dan pengedaran yang baik memainkan peranan yang penting bagi memastikan kualiti dan keberkesanan ubat-ubatan adalah dikekalkan sehingga sampai ke pengguna. Bagi produk yang mempunyai keperluan untuk menyimpan produk dalam julat 2 – 8 darjah Celsius, suhu di bawah 2 darjah Celsius atau lebih daripada 8 darjah Celsius akan menjejaskan kualiti dan keberkesanan ubat-ubatan apabila penstoran yang baik tidak diamalkan. Ubat kritikal yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit akan menjadi tidak berkesan berdasarkan fungsinya kerana keperluan dan pengedaran ubat tidak dikendalikan dengan sewajarnya.

Dalam industri farmaseutikal, integriti perubatan rangkaian sejuk turut penting bagi beberapa produk seperti vaksin, produk darah, dan biologik. Sekiranya produk berkenaan disimpan di luar suhu penyimpanan yang disyorkan, kualiti produk akan terjejas. Hanya personel yang berdedikasi dibenarkan untuk mengendalikan ubat-ubatan yang bersifat rangkaian sejuk. Suhu penyimpanan bagi kebanyakan vaksin adalah di antara 2-8 darjah Celsius. Pengendalian vaksin bermula dengan proses pengilangan sehingga vaksin diberikan kepada pesakit, suhu semasa penyimpanan dan pengangkutan perlu dipantau secara berterusan dengan penggunaan alat pemantauan suhu

Mengambil inspirasi dalam meningkatkan mutu kualiti terhadap pesakit, Unit Galenikal telah mengambil inisiatif dalam mengubahsuai kotak untuk dijadikan COLD CHAIN BOX. Cold Chain Box ini berfungsi sebagai satu tempat simpanan sementara untuk kegunaan ketika penghantaran singkat diantara jarak dari farmasi ke ward atau dari jarak farmasi logistic ke farmasi bekalan.

Foto Cold Chain Box







Foto sebelum diubahsuai kotak Cold Chain Box




Disediakan oleh
Charlotte Faye @ Qistina

Sudut Kitar Semula

Sudut Kitar Semula telah dihasilkan dalam menyahut gagasan ini, Unit Farmasi dan Bekalan Hospital Tapah telah menubuhkan sudut kitar semula untuk mempromosi serta mengajak pesakit dan pelanggan di Hospital Tapah untuk mengitar semula sisa sampah mereka.

Kitar semula ialah proses mengolah semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan yang baru. Menurut Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) kitar semula bermaksud memungut dan mengasingkan sisa pepejal bagi maksud menghasilkan keluaran. Kitar semula berlaku apabila bahan-bahan diproses dan menghasilkan produk yang sama. Kitar semula mengubah bahan-bahan yang sepatutnya menjadi sisa kepada sumber-sumber yang bernilai. Sebagai tambahan, ia menjadi sumber kepada alam sekitar, kewangan dan faedah sosial. Bahan-bahan seperti kaca, besi, plastik dan kertas di dan dikumpul, diasingkan dan dihantar ke pusat pemprosesan untuk ditukarkan kepada produk atau bahan baru.

Pada masa kini, isu alam sekitar merupakan masalah global dan universal yang perlu diberi perhatian serius terutama dalam penggunaan tong kitar semula kertas terpakai. Umumnya, masyarakat mempunyai kesedaran terhadap isu alam sekitar tetapi tahap penglibatan dan amalan penjagaan alam sekitar amatlah rendah.

MENGAPA PERLU KITAR SEMULA

Kitar semula merupakan salah satu cara terbaik untuk kita bagi mendapatkan kesan yang positif kepada dunia yang sedang didiami ini. Kitar semula adalah penting bagi kita dan alam semula jadi. Kita perlu bertindak dengan pantas kerana jumlah bahan buangan atau sisa yang di buang oleh kita sendiri semakin meningkat dari semasa ke semasa.      
Bahan boleh dikitar semula termasuk kebanyakkan jenis kaca, kertas, logam, plastik, tekstil dan elektronik. Bahan yang hendak dikitar semula perlulah dibawa ke tapak pengumpulan atau dikutip dari tepi jalan dan disusun, bersih dan akan diproses semula menjadi bahan baru bagi pengilangan.

Foto Sudut Kitar Semula Unit Farmasi dan Bekalan Hospital Tapah



Disediakan oleh:
Najwa Izzati Binti Mohamed
Nur Feazira BInti Abdul Kadir
Nur Syamimi Binti Suhaimi
Noor Hamiza Binti Abdullah
Nurul Nadiah Binti Mat Dawam
Wan Nur Syahirah Binti Wan Zaidi

Sudut Infomasi : VAKSIN



Ruangan sudut informasi unit Farmasi Hospital Tapah disediakan sebagai tempat pemberitahuan maklumat khususnya untuk para pesakit dan pelanggan yang datang ke Farmasi Pesakit Luar Hospital Tapah mengenai maklumat yang berkaitan dengan Hospital Tapah serta pendidikan kesihatan dan informasi mengenai perkhidmatan serta kemudahan yang di sediakan oleh pihak hospital.
Sudut informasi kali ini memaparkan info semasa mengenai vaksin Kesan sampingan dan keselamatan vaksin.

Apa itu vaksin?
Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Apakah kandungan vaksin? 
Vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin. Vaksin tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan.

Proses pembuatan vaksin
Vaksin terhasil daripada pembiakan organisma hidup. Sesetengah organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya. Oleh itu, penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawalselia dengan rapi. Semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Bagaimana vaksin berfungsi
Tubuh kanak-kanak menghasilkan sel dan antibodi secara semulajadi bagi melindungi nya daripada jangkitan virus dan bakteria. Walau bagaimanapun, mekanisma pertahanan ini boleh dirangsang dengan suntikan vaksin. Antigen dalam vaksin bertindak merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi khusus terhadap penyakit tertentu. Ia menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk dilawan pada masa hadapan. Kesan maksimum sesuatu vaksin lazimnya akan bermula selepas dos terakhir vaksin tersebut diambil mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

Mengapa kanak-kanak diberi imunisasi semasa masih bayi?
Kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit cegahan vaksin kerana sistem daya lawan jangkitan (imun) mereka yang lebih lemah berbanding orang dewasa. Pemberian vaksin membantu menguatkan sistem imun mereka dengan merangsangan sel pertahanan, seterusnya melindungi mereka daripada kemungkinan berlaku komplikasi yang mengancam nyawa. Maka, adalah sangat disyorkan agar kanak-kanak diberi imunisasi seawal mungkin mengikut jadual imunisasi yang telah ditetapkan.

Adakah vaksin memberi  perlindungan 100% terhadap penyakit cegahan vaksin?
Keberkesanan vaksin tidaklah 100%. Tindakbalas tubuh seseorang terhadap vaksin adalah berbeza-beza, dan terdapat kemungkinan sesetengah orang tidak menghasilkan tindakbalas imun yang mencukupi terhadap vaksin yang diambil. Hasilnya, individu seperti ini tidak dilindungi dengan berkesan. Terdapat vaksin yang memerlukan dos tambahan (booster) untuk membantu menguatkan imuniti terhadap penyakit tertentu. Perlindungan yang diperolehi dari vaksin adalah lebih baik dari tiada perlindungan langsung.

Berapa lamakah tempoh perlindungan yang diperoleh dari imunisasi?
Tempoh perlindungan sesuatu vaksin berbeza-beza bergantung kepada jenis vaksin dan cara penghasilannya. Sesetengah vaksin memberi perlindungan sepanjang hayat, manakala terdapat vaksin yang boleh memberi perlindungan sehingga 30 tahun. Terdapat juga vaksin yang memerlukan dos tambahan (booster) untuk memastikan perlindungan berterusan.

Mengapakah sesetengah vaksin diberi beberapa kali?
Sesetengah vaksin memberi perlindungan untuk tempoh terhad. Maka, dos tambahan (booster)  diperlukan untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) dan memastikan antibodi pada paras yang tinggi. Sekiranya anak anda tidak mengambil dos tambahan mengikut jadual yang ditetapkan, mereka tidak akan dilindungi dengan berkesan.

Vaksin melindungi kita serta orang lain dalam masyarakat (imuniti kumpulan)
Apabila sebahagian besar masyarakat telah dilindungi dari jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, bakteria/virus penyebab penyakit tersebut sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti. Oleh itu, seluruh masyarakat akan terlindung dari jangkitan penyakit tersebut, ini dinamakan ‘imuniti kelompok. Imuniti kelompok hanya dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi.

Adakah vaksin mempunyai kesan sampingan?
Vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan, seperti kesakitan dan kemerahan pada tempat suntikan atau demam. Namun kebanyakan kesan sampingan ini adalah ringan dan sembuh dengan segera.

Kementerian Kesihatan Malaysia memantau keselamatan penggunaan vaksin secara berterusan. Kakitangan kesihatan dari fasiliti kesihatan Kerajaan mahupun swasta, syarikat vaksin dan orang awam boleh melaporkan kepada pihak Kementerian sebarang kesan sampingan yang dialami selepas penerimaan vaksin dengan menghubungi 03 – 7883 5400 atau melalui emel ke alamat: bpfk@bpfk.gov.my.

Komplikasi penyakit yang boleh dicegah melalui imunisasi
Penyakit
Komplikasi


Tibi (batuk kering

Menyebabkan jangkitan yang serius pada radang paru-paru (pneumonia), radang selaput otak (meningitis) dan terus merebak kepada organ lain.

               
Difteria

Toksik dikeluarkan oleh bakteria disebabkan oleh saluran pernafasan yang tersumbat atau pneumonia (radang paru-paru).


Pertusis (batuk kokol)

Ia akan menyebabkan batuk kokol dan kekurangan oksigen ke otak.


Tetanus

Keracunan bakteria menyebabkan kekejangan pada otot-otot badan dan keupayaan membuka rahang (kancing gigi).


Haemophilus influenzae jenis (Hib)

Bakteria ini menyebabkan jangkitan kepada paru-paru (pneumonia), saluran pernafasan dan radang saraf otak (meningitis).


Hepatitis B

Virus ini boleh menyebabkan kerosakan yang teruk kepada hati dan mempengaruhi individu mendapat kanser hati pada masa depan.


Polio

Virus ini boleh menyebabkan jangkitan kepada otak dan kecacatan kekal pada otot kaki.


Campak               

Virus ini boleh menyebabkan jangkitan kepada otak (encephalitis) and paru-paru (pneumonia).


Beguk

Virus ini menyebabkan jangkitan kepada otak (encephalitis) dan testis (orchitis) dan boleh membawa kepada kemandulan.


Rubella

Virus rubella merebak di kalangan manusia, ibu hamil, terutamanya kehamilan bagi tiga bulan yang pertama dan boleh menyebabkan bayi mengalami kecacatan pada otak, sistem pendengaran dan penglihatan serta kerosakan hati. (terutamanya PDA patent ductus arteriosus)


Penyakit Pneumokokus

Bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan paru-paru, meningitis dan darah yang teruk.


Rotavirus

Virus ini boleh menyebabkan penyakit cirit-birit yang teruk, dehidrasi dan encephalitis


Virus Human Papilloma

Virus ini boleh menyebabkan kanser serviks dan ketuat genital


Nota – Semua penyakit di atas sangat berbahaya dan boleh membawa kematian.

Semua vaksin yang diberi adalah selamat dan berkesan selaras dengan cadangan World Health Organization (WHO). Kesan sampingan adalah ringan mempunyai batasannya sendiri. Ini termasuk demam, bengkak ringan dan sakit pada tempat yang disuntik. Jika ini berlaku, sila beri ubat (paracetamol).
Kesan sampingan yang serius adalah jarang berlaku. Segeralah berjumpa dengan doktor, jika berlaku keadaan berikut :
Menangis berterusan, mengantuk, pucat, berlaku kecutan otot dalam tempoh 48 jam selepas suntikan
Berlaku ruam panas, kesukaran bernafas dan mengantuk yang serius
Langkah berjaga-jaga dan tanda-tanda semasa imunisasi adalah biasa

Disediakan oleh
Nur Syamimi Binti Suhaimi
Nur Feazira Binti Abdul Kadir

INOVASI : Almari Penyimpanan Sampul Ubat

Staf unit galenikal telah merekacipta satu produk inovasi yang dapat memberikan akses mudah untuk mendapatkan sampul ubat yang disimpan di almari penyimpanan sampul ubat. Almari penyimpanan sampul ubat ini membantu dalam mengurangkan kehilangan sampul serta sentiasa kelihatan kemas dan rapi.

Tujuan:

Bagi mengasingkan sampul yang ada dalam pelbagai saiz
Meringkas serta mempercepatkan proses pengambilan sampul serta menjimatkan masa dan tenaga dari tercari-cari
Lebih kemas dan tersusun rapi
Sedap mata memandang dalam masa yang sama praktikal dan mudah digunakan

Gambar sebelum digunakan almari penyimpanan sampul ubat, sampul-sampul disimpan secara pukal didalam kotak. Ini menyebabkan sampul kadangkala terkeluar dan kelihatan tidak kemas dan rapi.


Gambar selepas dihasilkan almari penyimpanan sampul ubat, sampul disimpan di dalam dan diasingkan mengikut saiz masing-masing. Ruangan kelihatan rapi dan sampul mudah untuk dicari ketika diperlukan.






Disediakan oleh
Rohayu Samsina



Wednesday 13 March 2019

HARI EKSA DAN HARI KELUARGA HOSPITAL TAPAH 2019



Tarikh: 02 MAC 2019 (Sabtu)
Hospital Tapah telah menganjurkan Program Hari EKSA dan Hari Keluarga 2019 Hospital Tapah dan merupakan salah satu aktiviti bagi mengeratkan silaturrahim dan hubungan diantara anggota kesihatan, keluarga serta pesakit. Penganjuran ini disertai dari semua unit yang ada di Hospital Tapah. Program ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan sesama anggota kesihatan serta merehatkan minda ahli keluarga dengan aktiviti-aktiviti berbentuk santai.

Objektif program:

1.1  Memberikan ruang kepada anggota kesihatan untuk melakukan aktiviti bersama keluarga mereka dalam pengisian masa yang terluang.

1.2  Sebagai ruang untuk saling kenal-mengenali dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan ahli keluarga.

1.3  Menyemarakkan semangat kerjasama, hormat-menghormati dan menanam nilai-nilai murni melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

1.4 Mewujudkan persefahaman dan semangat kerja berpasukan di kalangan anggota kesihatan serta sekaligus dapat memantapkan lagi institusi kesihatan yang sedia ada.


Tentatif program:

02 MAC 2019 (Sabtu)

7.00 - 7.30 pg -          Pendaftaran ahli dan acara sukan

7.30 - 8.00 pg -          Aktiviti Senamrobik di padang 

8.00 pagi        -           Ucapan Perasmian dari Pengarah Hospital Dr. Anim Binti Ali
                                   Acara mewarna bermula (usia 7-9 tahun)

8.30 pagi        -           Acara Sukaneka bermula
                                   -Lambungan Kasih
                                   -Timbang Bola Takraw
                                   -Gusti Lengan 
                                   -Isi air dalam botol
                                   -Boling Buah Kelapa
                                   -Bawa bola pingpong

12.30 t/hari    -          Penyampaian hadiah dan cabutan bertuah

1.00 petang   -           Bersurai

ULASAN PROGRAM 

Program dimulai dengan kata-kata aluan dan seterusnya perasmian oleh Pengarah Hospital Tapah, Dr. Anim Binti Ali. Sebelum sebarang aktiviti dimulakan, program dimulai dengan bacaan doa oleh Encik Rosmaini . Program dimulai dengan acara sukaneka pada pagi tersebut.

Sukaneka pada pagi tersebut dibahagikan kepada beberapa kategori dan acara antaranya acara Lambungan Kasih, Timbang Bola Takraw, Gusti Lengan, Isi air dalam botol Boling Buah Kelapa dan acara Bawa Bola Pingpong. Acara  sukaneka berakhir kira-kira jam 12.00 tengahari.

Unit Farmasi & Bekalan menyertai acara jualan gerai EKSA. Acara tersebut berlangsung di kawasan tempat letak kereta Hospital Tapah. Antara jualan yang disediakan adalah Maggi Murtabak, Sparkling Ribena Sprite, Refreshing Sunquick Asam Boi dan Keropok Segera Tok Yam.

Pada pukul 12.00 tengahari, acara penyampaian hadiah dan senarai cabutan bertuah telah diadakan. Pada jam 12.30 tengahari, semua peserta bekerjasama mengemas tempat dan alatan yang telah digunakan. Peserta bersurai setelah selesai kesemua acara pada hari tersebut.

Jutaan terima kasih kepada yang terlibat sepanjang program ini. Sesungguhnya program ini telah berlangsung dengan jayanya.TAHNIAH kepada semua anggota yang terlibat. Semoga berjumpa lagi dalam program sama pada tahun akan datang. Pastinya akan lebih meriah lagi dengan penyertaan yang lebih ramai.

Foto sekitar persiapan Hari EKSA 2019








Foto Hari EKSA 2019

















DISEDIAKAN OLEH
Farra Nadiea Binti Ahmad Termizi